Showing posts with label SiComel. Show all posts
Showing posts with label SiComel. Show all posts
0 comments

Tahniah Ibu Baru !

Jam 6 pagi hari ini, aku dikejutkan dengan bunyi Avatar mengeow. Sememangnya aku tahu yang Avatar meminta aku membuka pintu dapur untuknya. Sebaik sahaja aku membuka pintu tersebut, aku menjenguk-jenguk kucing-kucingku yang lain. Tiba-tiba terdengar bunyi suara yang halus seperti suara anak kucing, terus aku teringatkan Simba. Ternyata sangkaanku benar, Simba telah melahirkan anak sulungnya.  

Lantas, aku mengambil bakul di dalam stor. Aku mengalas bakul tersebut dengan kertas suratkhabar dan kain. Aku memasukkan Simba dan keempat-empat ekor anaknya yang masih berdarah ke dalam bakul itu. Kecil dan comelnya anak-anak Simba. Bakul tadi aku letakkan di dalam stor. Sambil menggosok-gosok perut Simba aku melihat anak-anaknya. Macam-macam warna bulu anak-anak kucing tersebut. Ada yang berwarna hitam oren, kelabu putih, oren putih dan kelabu oren putih. Kesemuanya berekor dan bertubuh panjang. Melihat kepada fizikal anak-anaknya saling tak tumpah Private dan Sunkist. 
read more
0 comments

Private VS Avatar

PRIVATE
AVATAR

Sejak kebelakangan ini, kucing-kucing jantan ku Private dan Avatar (adik-beradik) kerap bergaduh. Pantang bersua muka je, mereka mula mengeluarkan bunyi. Bulu di belakang dan ekor mula kembang. Bergolek-golek dan berguling-guling mereka berlawan sesama sendiri. Pernah sekali dua aku cuba meleraikan pergaduhan mereka. Terpaksa aku menggunakan penyapu untuk menghalang mereka terus menerkam sesama sendiri. Private sangat marah sehinggakan menggigit penyapu yang aku gunakan. Pernah juga pada satu petang, semasa baru sahaja balik dari tempat kerja Adam menceritakan kepadaku tentang Private dan Avatar bergaduh lagi. Kali ini lebih teruk sehinggakan mereka berdua cedera. Aku terus mencari Avatar dan Private. Aku dapati Avatar sedang besembunyi di bawah kerusi di koridor rumahku. Kesan darah kering melekat di lantai koridor. Aku terus membelek-belek seluruh tubuh badannya. Terdapat luka di bawah leher Avatar. Memandangkan Avatar cuba melepaskan dirinya aku membiarkan sahaja Avatar di situ. 

Aku cuba mencari Private pula. Aku memanggil-manggil namanya. Tetapi Private tidak kelihatan. Mungkin dia bersembunyi. Aku biarkan sahaja kerana dalam fikiranku Private pasti akan keluar dari tempat persembunyiannya nanti. Pada sebelah malamnya, baru aku terlihat Private. Mungkin dia kelaparan. Atau mungkin kemarahannya sudah reda. Aku mendapatkan Private dan terus memeriksa badannya. Mujurlah cuma calar-calar kecil sahaja.

Sikap Private dan Avatar tetap sama. Aku cuba mengasingkan kedua-dua mereka. Tempat makan dan tidur mereka juga aku asingkan. Aku cuba mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah ini. Mungkin kucing-kucingku sudah tiba masa untuk mengawan dan menguasai kawasan masing-masing. Mereka cuba menunjukkan kuasa. Aku cuba membiarkan Private meneroka kawasan di luar rumah. Tetapi Private yang memangnya penakut, tidak berani berbuat demikian. Baru sahaja mendengar tapak kaki jiran aku, dia terus meluru masuk ke dalam rumah.

Dua hari selepas kejadian itu, aku sudah tidak nampak Private. Puas aku mencari  di sekitar rumah. Private tidak kelihatan. Aku merahsiakan perkara ini dari pengetahuan anak sulungku, Adam. Pasti Adam akan marah dan susah hati jika dia tahu Private sudah hilang. Disebabkan Adam sibuk dengan aktiviti kokurikulumnya, maka dia tidak perasan yang Private sudah tiada. Aku cuba juga mencari Private di sekitar kawasan aku tinggal. Tidak ada kelibat Private di situ. Memang sahlah Private telah hilang. Aku berharap Private dalam keadaan selamat meneruskan kehidupannya di luar. Tiada lagi bunyi mengeow yang selalu menyambut aku sewaktu pulang dari tempat kerja. Mat Bunga (gelaran Private) kesayangan kami telah tiada. Jauh di sudut hatiku berharap dia akan pulang.

p/s : Private, walau dimana pun kau berada, kami tetap sayangkan kau.

read more
0 comments

Selamat Tinggal Preety

SiComel....Preety

Ketika artikel ini ditulis, sudah sebulan Preety melahirkan ketiga-tiga anaknya. Ini bermakna semakin bertambah bilangan kucing di rumah aku. Kalau dikira semuanya.....13 ekor. Wah!! Banyak bukan?? Mana mampu aku memelihara semuanya. Makin bertambah makin banyaklah perbelanjaan yang dikeluarkan. Belum lagi dikira upah meninggalkan mereka di rumah tumpangan sekiranya aku perlu balik ke kampung?? Suamiku mula bising-bising. "Bagi je la kucing-kucing ni pada orang lain" katanya padaku pada satu hari. "Nantilah la bang. Preety tu baru je bersalin" Balasku.

Beberapa hari selepas itu, aku cuba meng'sms' kawanku, Ina. Memberitahunya tentang Preety. Dia terus menghubungiku sebaik menerima kiriman sms dariku. "Hello, kak. Preety dah beranak" Katanya. "Ye" Balasku. "3 ekor anak dia. Comel-comel" Tambahku lagi. "Kejap lagi Ina pegi rumah akak. Nak tengok anak Preety la" Terdengar suara terujanya di hujung talian. "Ok, datanglah" Mengakhiri perbualan kami.

Bermula hari itulah, maka termeterai janji antara kami. Preety dan anak-anaknya akan ku serahkan kepada Ina. Tempoh perjanjian selama sebulan sudah tamat. Dan kelmarin, tanggal 3 Julai 2011, aku menyerahkan Preety dan anak-anaknya kepada Ina. Turut serta menghantar mereka adalah anak-anakku Adam, Sofea dan Syaza. Sayunya hati ini ketika menyerahkan mereka. Aku cuba menyembunyikan perasaan sedihku di hadapan Ina, anak-anaknya dan anak-anakku. Puasku cium Preety dan anak-anaknya sebelum aku pulang. Adam juga melakukan perkara yang sama. Kesian Preety. Dia menyembunyikan diri di bawah kerusi. Takut mungkin!! Aku berharap Ina mampu menjaga mereka dengan baik. Harapanku Ina tidak akan memisahkan mereka.

Ternyata sayangku pada Preety amat dalam. Entah kenapa sebelum melelapkan mataku semalam, aku menangis mengenangkan mereka. Dan ketika artikel ini ditulis juga, aku tak mampu menahan airmata ini. Ku cuba buang jauh-jauh perasaan itu. Tapi aku tak mampu. Preety yang aku pelihara sejak dilahirkan, tidak pernah berjauhan dari kami. Maafkan aku Preety kerana terpaksa melakukan ini. Sekiranya mampu, aku akan memelihara semua kucing-kucingku.

Aku memang amat menyayangi kucing. Perasaan ini wujud sejak kecil lagi. Kucing-kucingku menjadi teman dan tempat aku meluahkan perasaan.

Semoga kita berjumpa lagi.....Preety, Rico, Skawski dan Zees.Gambar ini aku ambil selepas 2 minggu Preety bersalin.




read more
0 comments

Nilai Kasih Sayang

Cerita tentang perasaan kasih sayang antara manusia memang sentiasa kita dengar. Tapi pernahkah kita mendengar cerita tentang kasih sayang yang wujud di kalangan haiwan? Mungkin kita tidak pernah mengambil peduli tentang semua itu kan?

Apa yang saya paparkan di sini adalah melalui pengalaman saya sendiri. Ingat lagi cerita tentang SiComel yang Sedang Membesar. Anak-anak kucing itu sudah pun berusia 4 bulan dan sangat sesuai untuk diberikan kepada orang lain. Seperti yang telah dijanjikan, saya mula menghubungi Kak F. Bertanyakan tentang niatnya yang mahu memelihara 2 ekor anak kucing saya. Saya telah membuat temujanji pada malam itu. Tepat jam 8 malam, Kak F datang ke rumah. Berkenalan dan berbual-bual tentang anak-anak kucing tersebut. Lalu aku menyuruh anakku, Adam mengambil gambar mereka. Aku yang sememangnya amat menyayangi kucing, merasa sedih berpisah dengan mereka. Apa yang aku harapkan Private dan Simba akan membesar dengan sempurna. Harapan aku juga agar Kak F dapat menjaga dan memberikan kasih sayang kepada mereka. Seperti memahami situasi itu, Private dan Simba tidak melawan semasa aku memasukkan mereka ke dalam bakul. Aku memandang sayu tatkala Kak F membawa mereka pergi.

Pada hari Ahad yang lalu, aku mendapat panggilan telefon daripada seseorang. Aku amat mengenali suara itu. Kak F!! Kenapa dia menghubungi aku? Kucing-kucingku sudah matikah? Perkara pertama yang terlintas di fikiranku.

"Da, kucing-kucingmu tu, bha!!" Terdengar suaranya di hujung talian. "Kenapa, kak?" Aku bertanya. "Tidak mau makan, betapuk di bawah kerusi ja" Jawabnya dalam loghat Sabah. "Kurus suda. Bergaduh lagi sama kucing aku" Balasnya lagi. "Mungkin dia takut atau blum besa" Jawabku. "Itulah, kesian betul. Sudah 5 hari di sini. Selalunya pandai jua diaorang tu" Risau bunyinya. "Suamiku suruh dikasinya balik sama tuannya" Jelasnya lagi. Nda pa la, kak! Nanti sa kasi tau suami sa dulu" Balasku mengakhiri perbualan kami. "Ya la. Sorry ya, Da" Katanya sebelum memutuskan perbualan malam itu.

Selesai sahaja perbualan itu, aku mendapatkan suamiku dan bertanyakan pendapatnya. Suamiku bersetuju mengambil semula anak-anak kucing itu. Aku menghubungi Kak F dan menyatakan kesanggupanku. Malam itu juga aku mengambil mereka. Tiba di rumah aku mengeluarkan mereka dari bakul. Sebaik dikeluarkan, Private terus ke tempat makan kucing-kucingku. Lapar mungkin! Simba masih kebingungan dan bersembunyi di sebalik tiang bahagian dapur rumah kami. Avatar yang dari tadi memerhatikan tingkah laku abang dan adiknya, terus mendapatkan mereka. Avatar mencium dan menjilat-jilat Private. Jelas kelihatan kerinduan yang bersarang di jiwanya. Berulang-ulang kali dia melakukan perkara yang sama pada Private dan Simba. Avatar mula mengigit manja adik dan abangnya. Mengajak mereka bermain.

Hari itu aku menyaksikan betapa kasih-sayang tidak mengenal usia, darjat ataupun jenis keturunan? Kucing yang tidak mempunyai akal fikiran juga mampu menunjukkan kasih sayang mereka. Mereka juga seperti manusia yang amat menyayangi ahli keluarga sendiri. Tahu perasaan kasih-sayang dan rindu-merindui. Tidakkah kita merasa malu pada diri sendiri? Wujudkah lagi kasih-sayang sesama manusia di bumi ini? Fikir-fikirkan lah!

Keakraban mereka jelas terserlah walaupun semasa tidur.
read more
0 comments

Si Comel Yang Membesar










M
asih ingat nukilan yang aku paparkan di blog ini berjudul Takdir Penentu Segala. Cuba lihat kembali gambar yang aku publish. Kali ini aku ingin berkongsi dengan pembaca sekalian gambar-gambar anak-anak kucing ini. Keturunan Kiki & Sunkist sedang bertambah dan membesar sekarang. Namun begitu, akan tiba detik di mana aku akan menyerahkan Private & Simba kepada orang lain. Itu janjiku kepada suami. Keadaan rumahku tidak sesuai untuk aku memelihara semuanya. Mungkin blog ini juga akan menjadi kenanganku bersama mereka.













Lihatlah gelagat mereka yang berbeza-beza antara satu sama lain. Semasa gambar ini diambil, umur mereka baru 1 bulan. Let's me introduce them. Simba yang bongsu dan paling kecil tubuh badannya dibandingkan dengan abang-abangnya yang lain. Satu-satunya heroin dan mempunyai 3 warna di badannya. Hobinya tentulah suka tidur. Si Private yang sememangnya dari kecil kuat makan. Dan dialah yang pertama sekali menikmati makanan kucing dewasa. Yang berada di atas adalah Si Avatar. Paling suka bermain dan menjadi kesayangan kami. Mungkin sebab dia comel. Warna serta corak bulunya unik. Dia mewarisi keturunan Bengal sebelah ayah dan ibunya.


















Macam-macam gelagat mereka yang aku rakamkan. Semuanya ingin kujadikan kenangan sekiranya mereka tidak lagi bersama kami. Aksi mereka bermain, tidur dan minum bersama bapa mereka. Selain daripada anak-anakku, mereka juga amat bermakna dalam hidup ini.




read more
0 comments

Takdir Penentu Segala


Takdir penentu segala....judul lagu Jamal Abdillah. Rasanya begitu related dengan kisah saya kali ini. Macam sedih bunyinya. Tidak la....

Sebenarnya kisah ini ada kesinambungan dengan kisah kehilangan Skipper. Sepanjang kami bercuti dan semasa kucing-kucing kami ditinggalkan di rumah tumpangan, kami menerima berita gembira. Kiki (Ibu Skipper & Preety) telah selamat melahirkan 3 ekor anak pada 30 Januari, 2011 yang lalu. Hilang sekejap rasa sedih dan rindukan Skipper. Dalam hati berkata "Comel ke anak Kiki nih?" "Sempatkah besar mereka ni?" Sekurang-kurangnya ada juga pengubat rindu dan mungkin pengganti Skipper. Rasa tak sabar hendak pulang ke Labuan dan menengok sendiri sikecil ini.

Dan hari ini cukup sebulan usia anak-anak Kiki. Sudah pandai keluar dari bakul, sudah pun berjalan-berjalan dan sudah pun pandai makan nasi dan ikan rebus. Dalam kesibukan tugas harian, sempat juga aku memberi perhatian pada mereka. Apa yang aku perasan, 2 ekor anak Kiki kali ini lebih mirip dengannya kecuali seekor sahaja yang berbulu oren dan berbelang-belang. Unik sikit warnanya!!

Anak aku Adam yang sememangnya sukakan kucing telah pun menyediakan nama. Avatar, Private & Simba. Kenapa dia menamakan mereka macam tu???? Entah la. Bila aku bertanya, ini pula jawabnya. Avatar sebab ada tanda jalur-jalur berbentuk separuh bulatan di dahi. Private, asalnya nama ini nak diberikan kepada Preety tapi aku yang tukar sebab dia kucing betina. Simba sebab ada warna oren di muka dan badan anak kucing ini.

Comel dan menarik betul mereka ini. Tapi yang lebih menariknya adalah si Avatar. Bukan sahaja bulunya seakan-akan Skipper tapi perangainya pun macam sama. Dia seekor anak kucing yang berani dan independence. Saiznya juga lebih besar berbanding yang lain. Mungkinkah dia pengganti Skipper? Tunggu dan lihat....

Itulah yang aku maksudkan bahawa takdir telah menentukan yang kami kehilangan Skipper. Dan takdir juga memberikan kami penggantinya.....Bersyukurlah!!

read more
0 comments

Kehilangan Skipper

Hari ini merupakan hari terakhir dalam bulan Februari, 2011. Ini bermakna sudah hampir sebulan Skipper hilang. Rindu kami pada Skipper masih terasa dan yang paling terasa semestinya Preety, kakak Skipper dan anak sulung kami Adam.

Semuanya bermula semasa kami ingin pulang ke Kota Bharu. Memandangkan kami akan bercuti selama seminggu dan tiada sesiapa yang boleh menjaga kucing-kucing, maka kami pun menghantar mereka ke tempat penjagaan. Hari-hari terakhir sebelum pulang ke kampung, memang menyibukkan. Kami menghantar Sunkist, Kiki (ketika itu masih mengandung), Preety & Skipper pada malam sebelum kami bertolak.

Masih aku ingat lagi, perangai-perangai kucing-kucing kami semasa ingin memasukkan mereka ke dalam 'carrier'. Yang paling ketara si Skipper la. Beberapa kali dia cuba keluar dari 'carrier'. Apa yang ada dalam fikiran aku adalah mungkin dia tak biasa. Rupa-rupanya malam itu adalah malam terakhir Skipper bersama kami. Anak-anak aku, Adam, Sofea & Syaza pun ikut serta menghantar mereka.

Sampai saja di rumah En. Haris, kami dibawa ke rumah tumpangan kucing-kucing di bahagian belakang. Memang cantik dan selesa sekali keadaan rumah tumpangan tu. Abang terlalu cepat mengeluarkan Skipper sebelum sempat Sofea menutup pintu. Skipper yang ketakutan terus melompat keluar. Aku dan Adam cuba menangkap tapi Skipper lebih pantas. Dalam kegelapan malam, kami tak dapat melihat Skipper. Hampir 1 jam kami mencari, namun Skipper tetap tidak kami jumpai. Adam betul-betul naik angin. Marahkan Sofea dan menuduh Sofea punca kehilangan Skipper. Menyesal rasanya kerana tidak berhati-hati. Sebelum meninggalkan rumah En. Haris, kami meminta beliau mencari Skipper lagi. Abang tunjukkan gambar Skipper pada beliau. Berat sungguh hati kami hendak pulang ke kampung. Tapi aku benar-benar berharap Skipper akan dijumpai.

Walaupun kami telah sampai di kampung, kami cuba merisik-risik khabar bertanyakan hal Skipper. Jawapan yang sama tetap kami dengar. Belum jumpa.... Adam kerap bertanya dan menyuruh aku menelefon En. Haris. Kini sudah seminggu kami di kampung dan tiba masa untuk pulang ke Labuan. Kami berharap Skipper sudah dijumpai.

Memandangkan kami keletihan, aku tidak jadi mengambil kucing-kucing itu. Aku dan abang membuat keputusan mengambil mereka pada hari Isnin (7 Feb, 2011) selepas pulang dari kerja. Dan semestinya anak-anak tidak dibenarkan ikut serta. Setibanya di rumah En. Haris, kami telah dapat mengagak yang Skipper masih hilang. Hampa dan kecewa....

Bagaimana hendak aku jelaskan pada Adam? Buntu!!! Akhirnya aku berpakat dengan abang. Kami terpaksa berbohong dan memberitahu Adam yang ada orang lain menjumpai Skipper dan mahu memeliharanya. Itu saja cara yang terlintas di fikiran dan boleh menghilangkan rasa marah Adam pada Sofea. Adam masih tidak puas hati. Sayang betul Adam pada Skipper. Hingga saat ini pun, Adam masih merindui Skipper....

Aku juga merindui Skipper. Dia yang lincah dan nakal. Selalu berada bersama-sama kami di bilik. Menonton tv dan melompat-lompat bermain bersama Preety. Dia cukup gemar melepak di atas peti sejuk. Habis magnet hiasan aku dijatuhkan. Semenjak Skipper tiada, Preety jugak berubah sikap. Dari seekor kucing yang pendiam, dia kini suka mengiau-ngiau. Mungkin merindui adiknya.



Skipper semasa kecil





Skipper bersama Preety
read more