Nilai Kasih Sayang

Cerita tentang perasaan kasih sayang antara manusia memang sentiasa kita dengar. Tapi pernahkah kita mendengar cerita tentang kasih sayang yang wujud di kalangan haiwan? Mungkin kita tidak pernah mengambil peduli tentang semua itu kan?

Apa yang saya paparkan di sini adalah melalui pengalaman saya sendiri. Ingat lagi cerita tentang SiComel yang Sedang Membesar. Anak-anak kucing itu sudah pun berusia 4 bulan dan sangat sesuai untuk diberikan kepada orang lain. Seperti yang telah dijanjikan, saya mula menghubungi Kak F. Bertanyakan tentang niatnya yang mahu memelihara 2 ekor anak kucing saya. Saya telah membuat temujanji pada malam itu. Tepat jam 8 malam, Kak F datang ke rumah. Berkenalan dan berbual-bual tentang anak-anak kucing tersebut. Lalu aku menyuruh anakku, Adam mengambil gambar mereka. Aku yang sememangnya amat menyayangi kucing, merasa sedih berpisah dengan mereka. Apa yang aku harapkan Private dan Simba akan membesar dengan sempurna. Harapan aku juga agar Kak F dapat menjaga dan memberikan kasih sayang kepada mereka. Seperti memahami situasi itu, Private dan Simba tidak melawan semasa aku memasukkan mereka ke dalam bakul. Aku memandang sayu tatkala Kak F membawa mereka pergi.

Pada hari Ahad yang lalu, aku mendapat panggilan telefon daripada seseorang. Aku amat mengenali suara itu. Kak F!! Kenapa dia menghubungi aku? Kucing-kucingku sudah matikah? Perkara pertama yang terlintas di fikiranku.

"Da, kucing-kucingmu tu, bha!!" Terdengar suaranya di hujung talian. "Kenapa, kak?" Aku bertanya. "Tidak mau makan, betapuk di bawah kerusi ja" Jawabnya dalam loghat Sabah. "Kurus suda. Bergaduh lagi sama kucing aku" Balasnya lagi. "Mungkin dia takut atau blum besa" Jawabku. "Itulah, kesian betul. Sudah 5 hari di sini. Selalunya pandai jua diaorang tu" Risau bunyinya. "Suamiku suruh dikasinya balik sama tuannya" Jelasnya lagi. Nda pa la, kak! Nanti sa kasi tau suami sa dulu" Balasku mengakhiri perbualan kami. "Ya la. Sorry ya, Da" Katanya sebelum memutuskan perbualan malam itu.

Selesai sahaja perbualan itu, aku mendapatkan suamiku dan bertanyakan pendapatnya. Suamiku bersetuju mengambil semula anak-anak kucing itu. Aku menghubungi Kak F dan menyatakan kesanggupanku. Malam itu juga aku mengambil mereka. Tiba di rumah aku mengeluarkan mereka dari bakul. Sebaik dikeluarkan, Private terus ke tempat makan kucing-kucingku. Lapar mungkin! Simba masih kebingungan dan bersembunyi di sebalik tiang bahagian dapur rumah kami. Avatar yang dari tadi memerhatikan tingkah laku abang dan adiknya, terus mendapatkan mereka. Avatar mencium dan menjilat-jilat Private. Jelas kelihatan kerinduan yang bersarang di jiwanya. Berulang-ulang kali dia melakukan perkara yang sama pada Private dan Simba. Avatar mula mengigit manja adik dan abangnya. Mengajak mereka bermain.

Hari itu aku menyaksikan betapa kasih-sayang tidak mengenal usia, darjat ataupun jenis keturunan? Kucing yang tidak mempunyai akal fikiran juga mampu menunjukkan kasih sayang mereka. Mereka juga seperti manusia yang amat menyayangi ahli keluarga sendiri. Tahu perasaan kasih-sayang dan rindu-merindui. Tidakkah kita merasa malu pada diri sendiri? Wujudkah lagi kasih-sayang sesama manusia di bumi ini? Fikir-fikirkan lah!

Keakraban mereka jelas terserlah walaupun semasa tidur.

0 comments: