PRIVATE |
AVATAR |
Sejak kebelakangan ini, kucing-kucing jantan ku Private dan Avatar (adik-beradik) kerap bergaduh. Pantang bersua muka je, mereka mula mengeluarkan bunyi. Bulu di belakang dan ekor mula kembang. Bergolek-golek dan berguling-guling mereka berlawan sesama sendiri. Pernah sekali dua aku cuba meleraikan pergaduhan mereka. Terpaksa aku menggunakan penyapu untuk menghalang mereka terus menerkam sesama sendiri. Private sangat marah sehinggakan menggigit penyapu yang aku gunakan. Pernah juga pada satu petang, semasa baru sahaja balik dari tempat kerja Adam menceritakan kepadaku tentang Private dan Avatar bergaduh lagi. Kali ini lebih teruk sehinggakan mereka berdua cedera. Aku terus mencari Avatar dan Private. Aku dapati Avatar sedang besembunyi di bawah kerusi di koridor rumahku. Kesan darah kering melekat di lantai koridor. Aku terus membelek-belek seluruh tubuh badannya. Terdapat luka di bawah leher Avatar. Memandangkan Avatar cuba melepaskan dirinya aku membiarkan sahaja Avatar di situ.
Aku cuba mencari Private pula. Aku memanggil-manggil namanya. Tetapi Private tidak kelihatan. Mungkin dia bersembunyi. Aku biarkan sahaja kerana dalam fikiranku Private pasti akan keluar dari tempat persembunyiannya nanti. Pada sebelah malamnya, baru aku terlihat Private. Mungkin dia kelaparan. Atau mungkin kemarahannya sudah reda. Aku mendapatkan Private dan terus memeriksa badannya. Mujurlah cuma calar-calar kecil sahaja.
Sikap Private dan Avatar tetap sama. Aku cuba mengasingkan kedua-dua mereka. Tempat makan dan tidur mereka juga aku asingkan. Aku cuba mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah ini. Mungkin kucing-kucingku sudah tiba masa untuk mengawan dan menguasai kawasan masing-masing. Mereka cuba menunjukkan kuasa. Aku cuba membiarkan Private meneroka kawasan di luar rumah. Tetapi Private yang memangnya penakut, tidak berani berbuat demikian. Baru sahaja mendengar tapak kaki jiran aku, dia terus meluru masuk ke dalam rumah.
Dua hari selepas kejadian itu, aku sudah tidak nampak Private. Puas aku mencari di sekitar rumah. Private tidak kelihatan. Aku merahsiakan perkara ini dari pengetahuan anak sulungku, Adam. Pasti Adam akan marah dan susah hati jika dia tahu Private sudah hilang. Disebabkan Adam sibuk dengan aktiviti kokurikulumnya, maka dia tidak perasan yang Private sudah tiada. Aku cuba juga mencari Private di sekitar kawasan aku tinggal. Tidak ada kelibat Private di situ. Memang sahlah Private telah hilang. Aku berharap Private dalam keadaan selamat meneruskan kehidupannya di luar. Tiada lagi bunyi mengeow yang selalu menyambut aku sewaktu pulang dari tempat kerja. Mat Bunga (gelaran Private) kesayangan kami telah tiada. Jauh di sudut hatiku berharap dia akan pulang.
p/s : Private, walau dimana pun kau berada, kami tetap sayangkan kau.